UKM Press

Reformasi sering kali disifatkan sebagai proses yang boleh memberi kesan kepada kestabilan sistem kerana ia melibatkan usaha untuk mengubah suai sesuatu yang telah menjadi kebiasaan. Lebih lama sistem itu bergerak dan beroperasi dalam kerangka yang serupa, maka proses reformasi menjadi lebih sukar untuk dilaksanakan. Keadaan ini merupakan cabaran besar yang lazimnya dialami oleh pemimpin reformis dalam sesebuah parti dominan. Hal yang sama dialami oleh Abdullah Badawi yang berusaha melakukan pembaharuan dalam parti dominan yang telah berinstitusi dengan ideologi konservatisme dan juga personalisme, UMNO. Kepimpinan Abdullah berpegang kepada premis bahawa tradisi tidak selama-lamanya mengikat dan tidak boleh diubah. Justeru, beliau menukar prinsip-prinsip pengorganisasi yang selama ini disifatkan memberikan keseimbangan, keharmonian dan kebolehramalan kepada sistem sebelum itu. Namun, proses liberalisasi dan pengenduran politik yang cuba dilaksanakan Abdullah tidak berlaku dalam skala yang meluas berikutan tentangan unsur konservatif dan reaksioner. Keadaan ini tidak dibantu dengan melihat pendekatan kepimpinan lunak Abdullah yang bertentangan dengan prinsip kepimpinan Machiavellian yang seharusnya wujud beriringan dalam sesuatu kepimpinan politik. Pengurusan legasi Mahathir, tentangan kumpulan berkepentingan dan penentangan terhadap perubahan yang berlaku dalam sebuah kompleks parti-birokrasi menyebabkan Abdullah terperangkap dalam proses mencari keseimbangan dan akhirnya dilorongkan jalan pengunduran setelah hanya 1,918 hari mentadbir negara. Melihat kepimpinan Abdullah melalui lensa konservatisme membolehkan eranya dapat difahami dengan lebih dekat dengan meneroka interaksi antara faksi-faksi konservatif yang berlainan ataupun politik intraelit dalam sebuah parti seperti UMNO.

​Saga Neokonservatif: Abdullah Badawi UMNO dan Konservatisme


Wa’adat atau kontrak sosial dalam Sejarah Melayu merupakan unsur signifikan dalam budaya politik Melayu tradisional. Perjanjian ini telah meninggalkan kesan kuat dalam arena politik Melayu, sebelum, ketika serta zaman pascakemerdekaan yang menjadi tumpuan utama kajian ini. Bukan sahaja raja atau pemerintah Melayu yang kuat membina budaya politik Melayu, malah tindakan kolonial juga penting bagi memahami perkembangan budaya politik Melayu di negara ini. Meskipun orang Melayu telah memahami pelbagai perubahan, namun unsur kepatuhan, kesetiaan, ketaksuban dan sifat submisif mereka terhadap raja serta pemimpin lokal tidak pernah berubah. Jalinan elemen tradisional bercampur baur dengan adat dan agama mengharungi proses modenisasi seiring dengan perkembangan budaya politik Melayu. Justeru, kesan konstruksi kolonial terhadap politik masyarakat Melayu secara sedar atau tidak, mengimpak satu transformasi budaya politik dari kepatuhan kepada raja Melayu beralih kepada kolonial British dan kemudian kepada pemimpin Melayu bukan aristokrat. Kehadiran naluri insan dan keperluan wujudnya ketua atau 'natural obedience' yang sedia wujud dalam jiwa mereka menjadi penyebab utama kepaea kelangsungan budaya submisif ini. Pendekantan konsep 'obedience' yang natural juga diaplikasi dalam membincangkan isu kepatuhan orang Melayu terhadap pemerintah yang lahir secara semula jadi mengikut 'instinct' atau naluri kebiasaan seseorang insan. Buku ini membincangkan tentang hegemoni dalam budaya politik Melayu yang dimaksudkan kesetiaan masyarakat Melayu kepada pemimpin yang dianalisis sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah kepada era pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad. Namun, buku ini menyatakan hegemoni ini diterima dengan baik oleh orang Melayu kerana secara semula jadinya (natural obedience) adalah budaya politik orang Melayu. Buku ini menghujahkan hegemoni dalam masyarakat Melayu terbentuk semula jadi secara sukarela (consent).

Hagemoni Budaya Politik Melayu


Penyertaan orang Melayu ke dalam sebuah parti yang dilihat membawa imej cauvinis iaitu DAP sering menjadi perhatian banyak pihak dan pengkritik. Walaupun DAP telah Berjaya menarik penyertaan golongan Melayu sejak era 1970-an, gelombang penyertaan kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 lebih mencuit perhatian ramai. Kecairan politik telah menyebabkan berlakunya peningkatan keterhubungan dan persaudaraan transetnik dalam lanskap politik Malaysia. Golongan Melayu yang menyertai DAP dalam gelombang kedua ini dianggap sebagai generasi pascaetnik. Mereka pada umumnya merupakan kelompok anak muda yang cuba merealisasikan projek pascaetnik yang dilaksanakan DAP. Kumpulan ini ditandai dengan identiti yang hibrid, penyertaan yang didasarkan atas semangat sukarela, kecenderungan menolak afiliasi yang kekal, kecurigaan terhadap naratif yang dipaksakan dan penekanan kepada nasionalisme sivik. Projek pascaetnik bagaimanapun dilihat bermasalah kerana ianya ditemui dalam kelompok ahli Melayu sahaja berbanding kelompok mejoriti dalam DAP. Kecenderungan untuk kekal dengan identiti tunggal menyebabkan DAP sering kali terjebak dalam kesukaran untuk menyesuaikan realpolitik parti itu dengan trajektori dan grid pengalaman Melayu-Islam.

Projek Pascaetnik: Melayu dalam DAP

Sembang Buku

© Lubuk Buku Malaysia. Design by Fearne.