SIRD

"Sulalat u’s-Salatin atau Sejarah Melayu, bersama-sama dengan Hikayat Hang Tuah adalah dua buah karya klasik agung orang Melayu yang tidak perlu ditekankan peri pentingnya dalam sejarah kebudayaan bangsa itu. Dihasilkan pada abad ke-16 dan ke-17, karya yang asalnya ditulis berperingkat-peringkat dengan berdasarkan tradisi lisan, masing-masing telah menjadi rujukan utama dalam pengajian sejarah dan kebudayaan bangsa Melayu. Kendatipun banyak orang menganggap Sejarah Melayu sebagai sebuah karya sejarah yang bona fide, dan ramai pula yang menganggap Hikayat Hang Tuah adalah epik sejarah yang benar-benar meriwayatkan petualangan Laksamana Melaka yang hidup antara abad ke-15 dan ke-16, namun usaha membicarakan dua teks Melayu klasik ini tidak pernah dibuat secara kritis untuk menentukan dengan pasti sejauh mana Sejarah Melayu dapat dianggap sebagai sumber sejarah yang boleh dipercayai, dan sejauh mana pula manusia yang bernama Hang Tuah itu benar-benar wujud dalam sejarah. Mungkinkah kewujudan Hang Tuah itu hanya berasaskan kepercayaan banyak orang, setelah terpengaruh oleh Hikayat Hang Tuah yang pernah tersebar secara meluas di serata pelosok dunia Melayu semenjak tidak kurang daripada empat abad yang lalu?

Buku Antara Sejarah dan Mitos yang bernada kritis ini ditulis oleh seorang sejarawan yang cuba merungkai persoalan kebolehpercayaan Sejarah Melayu sebagai sumber sejarah yang utuh, dan juga menganalisis secara kritis kewujudan Hang Tuah dalam sejarah silam Melaka bagi menentukan sama ada figur ini adalah benar-benar tokoh sejarah ataupun semata-mata tokoh yang dimitoskan sahaja."

Antara Sejarah dan Mitos (Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia)


Batu Bersurat Terengganu telahpun diterima sebagai salah sebuah artifak tertua yang boleh membuktikan kehadiran Islam di Malaysia dan secara amnya juga di Asia Tenggara. Sejak penemuannya pada tahun 1887 prasasti Terengganu itu telah menarik perhatian kaum sarjana dari berbagai bidang ilmu. Betapapun demikian, dalam buku ini Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam mempertikaikan kajian terhadap prasasti itu yang selama ini memberikan tarikh yang salah iaitu 702 H. atau 1303 M., sedangkan tarikh yang sebenarnya ialah 708 H. atau 1308 M.

Suatu penemuan baru daripada hasil kajian Prof. Ahmat Adam, yang menggunakan kaedah filologi dan analisis sejarah, ialah bahawa penggunaan sistem kalendar peribumi telahpun wujud di Terengganu pada awal abad ke-14.

Ahmat Adam ialah Profesor Emeritus dalam bidang Sejarah di Universiti Malaysia Sabah. Lulusan dari School of Oriental & African Studies ini telah menghasilkan beberapa buah buku ilmiah, termasuk Sejarah Awal Pers dan Kebangkitan Kesadaran Keindonesiaan (Hasta Mitra & Perwakilan KITLV, Jakarta), Suara Minangkabau (Penerbit Universiti Malaya), Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia(SIRD) dan resensi terbaru (2016) Sulalat u’s-Salatin yang berdasarkan Naskhah Krusenstern, kini tersimpan di Perpustakaan Arkib Naskhah-Naskhah Oriental di St. Petersburg, Russia.

Beli Sekarang

Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa yang Dibaca Selama Ini?


Karya ini sekali lagi mempamerkan keberanian pengarangnya dalam memberikan tafsiran baru terhadap satu lagi karya klasik agung orang Melayu. Kali ini dengan menggunakan kaedah filologi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam secara kritis telah membedah isi kandungan sebuah hikayat yang selama lebih daripada dua abad ternyata salah dibaca dan silap ditransliterasikan ke huruf Rumi oleh para pengkaji Orientalis dan tempatan. Kesalahan zaman-berzaman ini jugalah yang menjadikan hikayat yang masyhur ini telah silap ditafsirkan bukan sahaja dari segi penyebutan nama gelaran Laksamana Melaka yang sebenar, tetapi juga dari segi isi kandungan yang menceritakan petualangan Laksamana yang masyhur itu. Yang menjadi lebih parah lagi ialah selepas kisah legendaris Laksamana itu diceriterakan oleh pengarang Sulalat u’s-Salatin, kisah pengembaraannya yang dilukiskan di dalam Hikayat Hang Tuha telah mempengaruhi pemikiran sebahagian anggota masyarakat dan dipercayai oleh mereka itu sebagai kisah yang benar-benar terjadi dalam sejarah Melaka. Melalui kajian ini pengarang cuba mengajak pembaca agar menilai sendiri karya sastera yang berlatarkan sejarah ini, dan cuba berfikir secara kritis untuk membezakannya dengan sebuah karya sejarah yang lebih tulen mengenai kesultanan Melaka dan Laksamana yang benar-benar wujud pada zaman abad ke-15 dan ke-16.

Hikayat Hang Tuha

Sembang Buku

© Lubuk Buku Malaysia. Design by Fearne.