Islamic Renaissance Front

Buku Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori melihat pada asal-usul dan perkembangan Islam. Hal ini dimulai dengan penceritaan tentang sejarah utama yang berlaku dalam tahun-tahun awal Islam berkembang, termasuklah di zaman para sahabat dan as-salāf as-sālih. Ia merupakan suatu rekonstruksi yang amat menarik tentang era kehidupan mereka. Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian, pertamanya bercerita tentang awal Islam, bagaimana masyarakat Islam dibentuk daripada zaman Jahiliyah. Zaman awal Nabi dan para sahabat, dan zaman para as-salāf as-sālih ini, sepertimana semua zaman dalam sejarah manusiawi, haruslah dinilai berdasarkan keistimewaannya yang tersendiri dan kita patut bertanya bagaimanakah cara kita mencontohi generasi terpilih ini dalam era moden ini? Dan bahagian kedua pula lebih menumpukan pada pemikiran politik Islam yang kontemporari yang menggarap pelbagai tren daripada golongan fundamentalis, Islamis dan modernis, dalam pembacaan mereka tentang sejarah khazanah as-salāf as-sālih.
Buku ini juga membahaskan secara teori tentang undang-undang perlembagaan, serta melihat perkembangan masyarakat Islam melalui perspektif sejarah, politik, teologi, dan undang-undang. Ia juga membahaskan konsep-konsep seperti Jihad dan Negara Islam yang sering dianggap sebagai legasi dari tamadun umat terdahulu pada zaman kontemporari ini. Apa yang membuatkan buku ini bertambah menarik ialah bagaimana sejarah Islam yang diceritakan itu bukan hanya berdasarkan studi dan sumber-sumber keagamaan semata akan tetapi ia juga melihat kepada sumber-sumber lain seperti sains politik. Yang dengannya itu, ia telah membantu dalam perdebatan kontemporari tentang idea sebuah Negara Islam dalam sesebuah negara yang majoritinya umat Islam dan apakah konsep ad-dawlah itu benar-benar suatu konsep yang dianjurkan di dalam Islam?

Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori

Sembang Buku

© Lubuk Buku Malaysia. Design by Fearne.